|
Wednesday, 30 April 2008 |
Pameran Senibina Haiwan merupakan suatu pameran yang memaparkan keunikan senibina haiwan-haiwan yang membina sarang. Hanya sepuluh peratus sahaja fauna yang ada di muka bumi membina sarang. Dari sudut biologi, pembinaan sarang bertujuan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kelangsungan hidup ini merangkumi pembiakan, keunikan telur, kelangsungan mencari dan menarik perhatian pasangan, keselamatan dalam konsep mangsa-pemangsa, penstoran makanan dan sebagainya.
Beberapa perbandingan secara relatif dengan kaedah dan senibina manusia akan menjadikan pameran ini menarik perhatian pengunjung untuk berfikir dan mengkagumi kebesaran ciptaan tuhan. Manusia menggunakan akal, peralatan dan mesin untuk membina sebuah rumah yang cantik dan lengkap tetapi haiwan hanya menggunakan naluri yang didorong oleh keadaan semulajadi dan pengalaman.
Pelbagai situasi dan keadaan risiko yang sangat maksima, seperti cuaca, suhu dan kelembapan, kemungkinan yang tinggi untuk mati tanpa isu, perubahan fizikal alam akibat aktiviti manusia dan sebagainya, meletakkan haiwan dengan keputusan tiada pilihan melainkan menggunakan apa sahaja yang ada di persekitaran sebagai alternatif meneruskan kelangsungan hidupnya. Keunikan sarang burung yang dianyam dan dijahit menggunakan paruh yang sungguh kemas dan tersusun, sarang semut yang dibentuk dengan cermat dan sarang anai-anai yang lengkap dengan sistem pengudaraan dan kawalan suhu merupakan misteri alam semulajadi yang merupakan paparan utama pameran ini. Pameran ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor pada 29 April 2008 (Selasa) jam 3.00 petang bertempat di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah. Turut hadir ialah Y.B. Puan Rodziah binti Ismail, Y.B. Dr. Halimah binti Ali, S.S. Dato' Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid, Y. Bhg. Dato' Tarmedi bin Haji Omar dan Datuk Bandar Shah Alam.
   |
|
|
Pameran Warisan Melayu Selangor |
|
Wednesday, 12 December 2007 |
|

Pameran ‘Warisan Melayu Selangor’ adalah merupakan pameran yang julung-julung kalinya diadakan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Ianya merupakan salah satu usaha untuk melihat kembali detik-detik perubahan yang dialami oleh Selangor dari zaman awal hinggalah ke hari ini. Pameran ini juga akan menghuraikan takrif ‘Melayu’ sebagai satu bangsa yang sudah lama mendiami Alam Melayu. Oleh itu, amatlah penting untuk kita mengenali tamadun Melayu yang lebih jelas tentang siapa orang Melayu dan sejarah masa silamnya.
Istilah Melayu juga dijelaskan dalam pameran ini kerana tanah kediaman orang Melayu di Kepulauan Melayu sudah berpecah-belah akibat ditakluki kaum penjajah secara silih berganti. Antaranya; Portugis, Sepanyol, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, dan Perancis dari barat dan dari Asia pula oleh Thailand dan mungkin juga Vietnam. Semoga dengan adanya pameran ini akan dapat mencetuskan kesedaran rakyat khususnya di Selangor betapa pentingnya ‘tradisi adat merantau’ yang telah menjadi amalan orang-orang Melayu sejak puluhan ribu tahun dahulu.
OBJEKTIF PAMERAN Mewujudkan rasa tanggungjawab terhadap nilai-nilai budaya bangsa dan menghargai sumbangan institusi muzium dalam menyelidik, memulihara, mendokumentasi dan menyebarkan segala hasil perolehan kepada orang ramai.
|
|
|
|